Saturday 19 May 2012

~wAktu~ [sebuahcerpenkontang]


Waktu dah semakin mendesak. Deretan lorong bukan lagi mainan akal. Langkah insan naif lagi daif semakin hilang detiknya. Maka derapan yang sempurna semakin haus. Aku melihat setiap masa yang tak putus. Aku melewati setiap gerak yang terurus. Akal aku mati di sini. Lewat luka senja mencabar apa yang aku ada. Aku berhenti dan terjah sekitar awan. Berkepul-kepul warna kelabu membentuk hiasan dunia. Ada kerusi di seberang sana. Mungkin ini masanya untuk aku tenangkan nyawa yang diselimuti sangsi. Aku mengira langkah setulusnya. Tak kuhirau nafas yang bakal lenyap bersama detik.
Lega. Bisikan hati itu seakan menjerit pada dunia agar mampu diraih rasa simpati. Tapak derita semakin mencengkam. Haus. Bersilih ganti bisikan musuh manusia mengajak aku pulang tanpa iman. Mudahnya ternoda jika aku jatuh. Aku bersandar. Menarik nafas. Lepas. Percikan cahaya lintang-pukang tembusi mata dan hati. Lelap seketika, aku fikir membuahkan lena. Terdampar seketika buih-buih retak yang berselirat. Dalam buih itulah sengsara aku. Satu persatu meletup tetapi tidak pecah.
Biarlah terdampar. Aku mahu mati memikirkan ruang sempit itu. Hati aku tak pernah berhenti berbisik. Menatap ruang gelap lebih bermakna bagiku. Biarlah tapak-tapak itu berlegar di hadapan aku. Biar mereka pandang mata aku yang sepi. Aku tak nampak mereka. Itu lebih baik daripada aku nampak dan mereka memandang dengan lirikan yang songsang! Kemudian aku terhina dihadapan mata sendiri. Dengusan aku semakin tenang. Puas! Biarlah aku di sini. Jangan ada yang mengganggu.
Dup dup dup. Kencang. Kenapa bahang dingin terasa deras? Pasti ada di sini. Tak sudah lagi rupanya. Sampai bila? Aku lemas dalam keupayaan sendiri. Dulu pernah aku takut. Dulu pernah aku terima seadanya. Tapi kini tidak lagi. Semakin aku sudi terima, semakin merodok ketenangan, semakin kerap aku diduga. Oh! Aku terlupa. Aku terpilih dikalangan semua.
Kali ini aku mengalah. Membuka semula hijab pemberianNya. Jika aku terus menipu diri, menatap kegelapan yang bukan hakiki, segalanya tak akan berhenti. Ya, tak akan berhenti dan hanya aku yang dapat menghentikannya dengan bantuan Dia. Kekuatan yang cuba aku kumpul, sama seperti awan yang cuba memayungi kepanasan bumi. Aku panas dalam darah yang berselindung dengan tangis resah.
“Apa lagi?”
Nadi aku berkocak tanpa memandangnya. Sesekali aku berdehem sekadar berselindung dari pandangan kasar manusia. Suasana kembali sepi. Angin malam menghembus lalu menusuk kulit yang kering. Pandangan yang gelap, aku tundukkan ke bawah tanpa memandang sisi kiri. Memejamkan mata adalah salah satu cara untuk aku menghindar situasi aneh itu.
Aku makin sesak. Keadaan ini benar-benar membunuh naluri jiwa manusia normal. Sesekali aku menarik nafas yang senak di hujung nyawa dek ketakutan yang samar-samar berselindung. Untuk ke sekian kalinya aku menarik nafas dan gagah menghembuskan nafas yang sedikit keras. Lega. Sedikit. Perlahan, aku memberanikan diri membuka mata untuk berhadapan dengannya. Kali ini aku tak akan tunduk lagi. Berkira-kira dengan kalimahNya, aku membuka mata. Nah! Muncul di sebalik kaki yang kaku untuk menepis.
“Lepaskan aku!” garau. Ngilu. Berdesing. Bingit.
Seluruh nikmatNya kejang. Mulut terbisu. Lidah semakin kebas seakan baru dipotong. Kaku. Suara keras itu membawa aku terpelanting ke belakang masa.
“Kenapa dia tak bergerak, Man? Dah mati ke?” nada cemas Hairi menetak degup jantung Aman yang kehilangan rentak normal.
“Kau diamlah!”
“Sekarang apa kita nak buat? Aku tak nak tanggung, Man. Aku tak sanggup.”
“Aku kata diam, diamlah bodoh!”
Tiada lagi kelembutan dalam tingkah dan nadanya. Aman kehilangan diri sendiri. Saat itu memerlukan kewarasan akal yang tinggi untuk menyelesaikan masalah yang semakin rumit.
“Kau urus sendiri, Man. Aku tak nak!”
Langkah pantas Hairi membiarkan akal Aman semakin berserabut. Berkali-kali dia cuba berfikir mencari penyelesaian. Ah! Terbatas lagi. Sudah berapa kali dia terduduk sambil merenung ke arah wajah kaku Suraya. Ada ketika dibiarkan kosong dalam renungannya.
“Macam mana boleh mati? Aku bunuh? Eh!bila masa pulak? Bukan…bukan aku bunuh. Dia bunuh diri sendiri. Tapi…”
Aman dalam khayal berbual seorang diri. Setiap soalan dijawab seolah-olah muncul personaliti baru dalam dirinya. Dia semakin hilang dalam nyata.
Lari Aman! Kau tak akan mampu buat sorang-sorang. Lari! Musuh manusia kembali menjadi temannya. Kopiah yang menyerikan wajahnya sejak beberapa hari lalu, kini seakan hanya hiasan. Sedang di wajahnya terpalit salah yang berlumpur. Kotor.
“Aku tak boleh lari. Aku bunuh dia. Tak kan aku nak biar dia macam tu je. Kesianlah…” sekali lagi monolognya seperti orang hilang riak.
“Aman...apa salah aku?” rintih suara Suraya hanya singgah ditelinga Aman. Matanya tak berkelip memandang Suraya. Wajahnya mula menyusun satu persatu hakikat dan kepalsuan. Suraya masih kaku. Tapi suara itu?
“Aman…aku sakit…”
“Sakit? Tapi kau dah mati!”
Suara Aman sedikit membentak. Dalam tak sedar dia bercakap dengan bayang-bayang suara yang tak wujud. Dia kini hilang dalam realiti. Aman bangun dan terus merangkul Suraya. Bibirnya bergetar menyentuh cuping telinga si kaku.
            “Aku bunuh kau sebab kau dah mati. Tapi aku bukan pembunuh. Kau yang bunuh aku…sebab tu aku hidup. Kau mati bukan aku yang bunuh. Kau bunuh aku! Aku tak mati!” nadanya yang berbisik di awalan, semakin keras dan garau di akhirnya.
Butir katanya seperti orang kehilangan arah kewarasan akal. Aman berhalusinasi dengan dunia gelap yang membawanya untuk terus bersembunyi dalam kesilapan demi kesilapan.
Tangan kiri si tubuh kaku yang disimbah darah sendiri, di heret oleh Aman dengan menggunakan tangan kanannya. Diheret ke satu kawasan semak-samun yang sentiasa ada musuhnya. Tapi apa dia peduli? Dia hilang dirinya. Dia hanya ada satu akal saat ini. Sembunyi.
Tanah keras menjadi lembut di belai kerakusan tangan Aman yang tegar menggali dengan menggunakan cangkul. Akhirnya ditimbus dengan pandangan dan rasa yang kosong. Lagaknya seperti hanya menimbus bangkai kucing yang paling dibenci. Cangkul yang merobek tanah juga ditimbus bersebelahan dengan mayat Suraya. Aman berlalu dan hilang dalam samar senja yang entah bila datangnya.
Sayup azan membuatkan Aman kembali ke dunia nyata. Hakikat sebenar. Memandang sekeliling dengan pandangan yang penuh kehilangan. Tapak kaki yang melewatinya, hanya memandang dengan bisikan yang penuh ragu.
Peluh menitik membasahi lantai tanah. Tidak dihiraunya apatah lagi dikesat. Nafasnya turun naik. Ingatannya memandu ke satu arah. Fantasi atau realiti.
Seorang lelaki berkaca mata hitam tiba-tiba menghampirinya lalu duduk disebelah tanpa dijemput dan tidak pula meminta keizinan. Tanpa diminta, Aman beralih sedikit dari tempat duduknya yang kaku sejak beberapa jam yang lepas.
Aman masih resah. Lelaki tersebut bersandar tenang. Kemudiannya dia membongkokkan sedikit badannya dan meletakkan kedua-dua belah siku di peha. Jemarinya menggenggam antara kiri dan kanan. Perlakuannya sekadar meniru gaya Aman. Sama. Cuma riak perasaan saja berbeza.
            “Kenapa dia ikut kau?”
            “Siapa?”
            “Perempuan berdarah.”
            “Gila!”
            “Kau?”
            “Apa?”
            “Gila?”
Aman terdiam. Dia terperangkap. Terperangkap? Ah!bukan. Dia memerangkap diri sendiri. Siapa lelaki itu? Muncul untuk memerangkap jiwa berselirat?
            “Kau mimpi. Kau rasa itu betul. Kau salah. Itu tak pernah wujud.”
            “Hei!Kau cakap apa ni? Jangan bagi serabut otak aku lagi, boleh tak? Gila!”
Lelaki tersebut hanya tersenyum sinis. Disebalik kaca mata hitam itu, dia memandang riak Aman yang kecelaruan. Diteroka dan ditilik satu persatu rasa yang membebankan naluri halus lelaki itu.
Dia juga pernah begitu suatu ketika dahulu. Aman adalah dirinya yang dulu. Diperangkap dan terperangkap dalam mimpi yang di anggap realiti. Sedangkan hakikat hidup tiada yang salah. Itu hanya mimpi ngeri yang membingungkan manusia. Hasutan syaitan yang mengangkat dirinya berkuasa memesongkan manusia.
            “Allah gerakkan hati aku ke sini untuk sedarkan kau tentang hakikat. Hakikat waktu yang wujud dalam ruang sedar. Sedangkan waktu itu bukan waktu yang kau jalani. Saudara, itu semua mimpi. Seperti mana kau tersedar waktu azan berkumandang, kenapa kau harus terus berjaga dalam ruang sedar yang kau cipta? Berehatlah. Temui Dia. Insya-Allah.”
Langkah kaki lelaki tersebut seakan debu yang ditiup angin. Hilang dalam samaran malam. Begitulah pantasnya otak Aman mencantumkan segala yang waras dan ruang sedar yang diciptanya.
Ruang yang dianggap sedar itu menghantuinya sejak empat tahun lalu. Baru hari ini dia rasa terbeban dengan sketsa pembunuhan yang hanya wujud tanpa huraian watak, tanpa punca dan tanpa permulaan. Berulang-ulang, itulah yang menghantuinya.
Lafaz istighfar seolah memberinya kehidupan baru. Menyedari kehidupannya yang semakin hilang dalam nyata, digagahkan juga melangkah menemuiNya.
            “Musuh manusia tak pernah sedetik pun berbuat baik. Kita lebih mulia. Kenapa kita harus tunduk?”
Kata-kata terakhir lelaki berkaca mata hitam sebentar tadi, menyentak sisi lena hidupnya.

Tuesday 15 May 2012

mAnA Aku?


Sungguh aku risaukan diri aku yang seolah-olah tak risaukan apa-apa. How can I stand on this situation? What kind of antidote can make my life feel better and looks normal? Aku dah senaraikan eseimen yang semuanya membunuh akal dan tenaga aku. Tapi aku melihatnya hanya aksara kosong yang bercantum antara satu sama lain lalu membentuk urutan perkataan yang bermakna. Tapi kemana makna yang ada dalam deretan aksara itu? Aku sesat. Aku hilang punca. Aku bukan manusia seperti mereka. Kenapa dengan aku? Kenapa aku terlalu senang dengan lambakan tugasan itu? Ya, mereka dengar aku tension. Tapi mereka tak tahu otak aku kosong. Yang terkeluar dari mulut aku cuma perkataan yang sepatutnya aku ucap seperti mereka. Fake it until u makes it. Thanx adik sebab ‘kenalkan’ aku dengan ayat tu. Yes, I fake it! But I don’t know until when I should be like this. I can’t make it babe! I CAN’T! It seems like to kill myself..my spirit..my hopes..my life actually. Oh God…please bless my journey. Please give me the way that I should go. Apa aku sudah tak ada rasa? Apa benar hati kering itu wujud dan itu ada pada aku? Apa benar aku hanya berserah? Apa semua ini? Ya, aku menangis. Aku ada rasa sebak. Aku ada rasa rindu..sayang..cinta..suka..menyampah..tapi kenapa semuanya macam palsu? Aku menipu diri sendiri? Atau ego? Inikah ego? Ya Allah…aku buntu. Tolonglah kembalikan rasa yang selayaknya aku rasa saat ini. Aku penat menangis tanpa sebab. Aku takut meratap tanpa rasa. Aku risau tiada kerisauan dalam diri aku tentang itu….di mana aku sebenarnya?