Waktu
dah semakin mendesak. Deretan lorong bukan lagi mainan akal. Langkah insan naif
lagi daif semakin hilang detiknya. Maka derapan yang sempurna semakin haus. Aku
melihat setiap masa yang tak putus. Aku melewati setiap gerak yang terurus.
Akal aku mati di sini. Lewat luka senja mencabar apa yang aku ada. Aku berhenti
dan terjah sekitar awan. Berkepul-kepul warna kelabu membentuk hiasan dunia. Ada kerusi di seberang sana . Mungkin ini masanya untuk aku tenangkan
nyawa yang diselimuti sangsi. Aku mengira langkah setulusnya. Tak kuhirau nafas
yang bakal lenyap bersama detik.
Lega.
Bisikan hati itu seakan menjerit pada dunia agar mampu diraih rasa simpati. Tapak
derita semakin mencengkam. Haus. Bersilih ganti bisikan musuh manusia mengajak aku
pulang tanpa iman. Mudahnya ternoda jika aku jatuh. Aku bersandar. Menarik
nafas. Lepas. Percikan cahaya lintang-pukang tembusi mata dan hati. Lelap
seketika, aku fikir membuahkan lena. Terdampar seketika buih-buih retak yang
berselirat. Dalam buih itulah sengsara aku. Satu persatu meletup tetapi tidak
pecah.
Biarlah
terdampar. Aku mahu mati memikirkan ruang sempit itu. Hati aku tak pernah
berhenti berbisik. Menatap ruang gelap lebih bermakna bagiku. Biarlah tapak-tapak
itu berlegar di hadapan aku. Biar mereka pandang mata aku yang sepi. Aku tak
nampak mereka. Itu lebih baik daripada aku nampak dan mereka memandang dengan
lirikan yang songsang! Kemudian aku terhina dihadapan mata sendiri. Dengusan aku
semakin tenang. Puas! Biarlah aku di sini. Jangan ada yang mengganggu.
Dup
dup dup. Kencang. Kenapa bahang dingin terasa deras? Pasti ada di sini. Tak
sudah lagi rupanya. Sampai bila? Aku lemas dalam keupayaan sendiri. Dulu pernah
aku takut. Dulu pernah aku terima seadanya. Tapi kini tidak lagi. Semakin aku
sudi terima, semakin merodok ketenangan, semakin kerap aku diduga. Oh! Aku
terlupa. Aku terpilih dikalangan semua.
Kali
ini aku mengalah. Membuka semula hijab pemberianNya. Jika aku terus menipu
diri, menatap kegelapan yang bukan hakiki, segalanya tak akan berhenti. Ya, tak
akan berhenti dan hanya aku yang dapat menghentikannya dengan bantuan Dia. Kekuatan
yang cuba aku kumpul, sama
seperti awan yang cuba
memayungi kepanasan bumi. Aku panas dalam darah yang berselindung dengan tangis
resah.
“Apa
lagi?”
Nadi
aku berkocak tanpa memandangnya. Sesekali aku berdehem sekadar berselindung
dari pandangan kasar manusia. Suasana kembali sepi. Angin malam menghembus lalu
menusuk kulit yang kering. Pandangan yang gelap, aku tundukkan ke bawah tanpa
memandang sisi kiri. Memejamkan mata adalah salah satu cara untuk aku
menghindar situasi aneh itu.
Aku
makin sesak. Keadaan ini benar-benar membunuh naluri jiwa manusia normal.
Sesekali aku menarik nafas yang senak di hujung nyawa dek ketakutan yang
samar-samar berselindung. Untuk ke sekian kalinya aku menarik nafas dan gagah
menghembuskan nafas yang sedikit keras. Lega. Sedikit. Perlahan, aku
memberanikan diri membuka mata untuk berhadapan dengannya. Kali ini aku tak
akan tunduk lagi. Berkira-kira dengan kalimahNya, aku membuka mata. Nah! Muncul
di sebalik kaki yang kaku untuk menepis.
“Lepaskan
aku!” garau. Ngilu. Berdesing. Bingit.
Seluruh
nikmatNya kejang. Mulut terbisu. Lidah semakin kebas seakan baru dipotong.
Kaku. Suara keras itu membawa aku terpelanting ke belakang masa.
“Kenapa
dia tak bergerak, Man? Dah mati ke?” nada cemas Hairi menetak degup jantung
Aman yang kehilangan rentak normal.
“Kau
diamlah!”
“Sekarang
apa kita nak buat? Aku tak nak tanggung, Man.
Aku tak sanggup.”
“Aku
kata diam, diamlah bodoh!”
Tiada
lagi kelembutan dalam tingkah dan nadanya. Aman kehilangan diri sendiri. Saat
itu memerlukan kewarasan akal yang tinggi untuk menyelesaikan masalah yang
semakin rumit.
“Kau
urus sendiri, Man. Aku tak nak!”
Langkah
pantas Hairi membiarkan akal Aman semakin berserabut. Berkali-kali dia cuba
berfikir mencari penyelesaian. Ah! Terbatas lagi. Sudah berapa kali dia
terduduk sambil merenung ke arah wajah kaku Suraya. Ada ketika dibiarkan kosong dalam
renungannya.
“Macam
mana boleh mati? Aku bunuh? Eh!bila masa pulak? Bukan…bukan aku bunuh. Dia
bunuh diri sendiri. Tapi…”
Aman
dalam khayal berbual seorang diri. Setiap soalan dijawab seolah-olah muncul personaliti
baru dalam dirinya. Dia semakin hilang dalam nyata.
Lari Aman! Kau tak akan mampu buat
sorang-sorang. Lari! Musuh manusia kembali menjadi temannya. Kopiah yang
menyerikan wajahnya sejak beberapa hari lalu, kini seakan hanya hiasan. Sedang
di wajahnya terpalit salah yang berlumpur. Kotor.
“Aku
tak boleh lari. Aku bunuh dia. Tak kan
aku nak biar dia macam tu je. Kesianlah…” sekali lagi monolognya seperti orang
hilang riak.
“Aman...apa
salah aku?” rintih suara Suraya hanya singgah ditelinga Aman. Matanya tak
berkelip memandang Suraya. Wajahnya mula menyusun satu persatu hakikat dan
kepalsuan. Suraya masih kaku. Tapi suara itu?
“Aman…aku
sakit…”
“Sakit?
Tapi kau dah mati!”
Suara Aman
sedikit membentak. Dalam tak sedar dia bercakap dengan bayang-bayang suara yang
tak wujud. Dia kini hilang dalam realiti. Aman bangun dan terus merangkul
Suraya. Bibirnya bergetar menyentuh cuping telinga si kaku.
“Aku bunuh kau sebab kau dah mati.
Tapi aku bukan pembunuh. Kau yang bunuh aku…sebab tu aku hidup. Kau mati bukan
aku yang bunuh. Kau bunuh aku! Aku tak mati!” nadanya yang berbisik di awalan,
semakin keras dan garau di akhirnya.
Butir katanya
seperti orang kehilangan arah kewarasan akal. Aman berhalusinasi dengan dunia
gelap yang membawanya untuk terus bersembunyi dalam kesilapan demi kesilapan.
Tangan kiri si
tubuh kaku yang disimbah darah sendiri, di heret oleh Aman dengan menggunakan tangan
kanannya. Diheret ke satu kawasan semak-samun yang sentiasa ada musuhnya. Tapi
apa dia peduli? Dia hilang dirinya. Dia hanya ada satu akal saat ini. Sembunyi.
Tanah keras
menjadi lembut di belai kerakusan tangan Aman yang tegar menggali dengan menggunakan
cangkul. Akhirnya ditimbus dengan pandangan dan rasa yang kosong. Lagaknya
seperti hanya menimbus bangkai kucing yang paling dibenci. Cangkul yang merobek
tanah juga ditimbus bersebelahan dengan mayat Suraya. Aman berlalu dan hilang
dalam samar senja yang entah bila datangnya.
Sayup azan
membuatkan Aman kembali ke dunia nyata. Hakikat sebenar. Memandang sekeliling
dengan pandangan yang penuh kehilangan. Tapak kaki yang melewatinya, hanya
memandang dengan bisikan yang penuh ragu.
Peluh menitik
membasahi lantai tanah. Tidak dihiraunya apatah lagi dikesat. Nafasnya turun
naik. Ingatannya memandu ke satu arah. Fantasi atau realiti.
Seorang lelaki
berkaca mata hitam tiba-tiba menghampirinya lalu duduk disebelah tanpa dijemput
dan tidak pula meminta keizinan. Tanpa diminta, Aman beralih sedikit dari
tempat duduknya yang kaku sejak beberapa jam yang lepas.
Aman masih
resah. Lelaki tersebut bersandar tenang. Kemudiannya dia membongkokkan sedikit
badannya dan meletakkan kedua-dua belah siku di peha. Jemarinya menggenggam
antara kiri dan kanan. Perlakuannya sekadar meniru gaya Aman. Sama. Cuma riak perasaan saja
berbeza.
“Kenapa dia ikut kau?”
“Siapa?”
“Perempuan berdarah.”
“Gila!”
“Kau?”
“Apa?”
“Gila?”
Aman terdiam. Dia
terperangkap. Terperangkap? Ah!bukan. Dia memerangkap diri sendiri. Siapa
lelaki itu? Muncul untuk memerangkap jiwa berselirat?
“Kau mimpi. Kau rasa itu betul. Kau
salah. Itu tak pernah wujud.”
“Hei!Kau cakap apa ni? Jangan bagi
serabut otak aku lagi, boleh tak? Gila!”
Lelaki tersebut hanya
tersenyum sinis. Disebalik kaca mata hitam itu, dia memandang riak Aman yang
kecelaruan. Diteroka dan ditilik satu persatu rasa yang membebankan naluri
halus lelaki itu.
Dia juga pernah
begitu suatu ketika dahulu. Aman adalah dirinya yang dulu. Diperangkap dan
terperangkap dalam mimpi yang di anggap realiti. Sedangkan hakikat hidup tiada
yang salah. Itu hanya mimpi ngeri yang membingungkan manusia. Hasutan syaitan
yang mengangkat dirinya berkuasa memesongkan manusia.
“Allah gerakkan hati aku ke sini
untuk sedarkan kau tentang hakikat. Hakikat waktu yang wujud dalam ruang sedar.
Sedangkan waktu itu bukan waktu yang kau jalani. Saudara, itu semua mimpi.
Seperti mana kau tersedar waktu azan berkumandang, kenapa kau harus terus
berjaga dalam ruang sedar yang kau cipta? Berehatlah. Temui Dia. Insya-Allah.”
Langkah kaki
lelaki tersebut seakan debu yang ditiup angin. Hilang dalam samaran malam. Begitulah
pantasnya otak Aman mencantumkan segala yang waras dan ruang sedar yang
diciptanya.
Ruang yang
dianggap sedar itu menghantuinya sejak empat tahun lalu. Baru hari ini dia rasa
terbeban dengan sketsa pembunuhan yang hanya wujud tanpa huraian watak, tanpa
punca dan tanpa permulaan. Berulang-ulang, itulah yang menghantuinya.
Lafaz istighfar
seolah memberinya kehidupan baru. Menyedari kehidupannya yang semakin hilang
dalam nyata, digagahkan juga melangkah menemuiNya.
“Musuh manusia tak pernah sedetik
pun berbuat baik. Kita lebih mulia. Kenapa kita harus tunduk?”
Kata-kata
terakhir lelaki berkaca mata hitam sebentar tadi, menyentak sisi lena hidupnya.
No comments:
Post a Comment