Saturday 26 February 2011

my 1st short story~ enjoy!!

C.I.N.T.A  mAkAn mAlAm ~



Cinta yang aku utuskan adalah cinta yang tak berdialog. Bukan bermakna aku bisu berbicara soal cinta, bukan juga maknanya aku tidak pernah membicarakannya. Balqis binti Razak. Utusan Maha Pencipta untuk dibelai dengan rasa sayang dan penuh perhatian. Ya, akulah Balqis. Nama yang cukup sempurna bagi aku. Berbicara soal cinta, aku teringat kata-kata ibu. “Jangan terlalu mudah ungkapkan cinta, jika kita tak pasti akhirnya.” Memang benar kata ibu. Hidup ibu dengan arwah abah penuh dengan cinta yang aku sendiri tak nampak di mata sepanjang mereka bersama. Keutuhan cinta selama 51 tahun sehingga ke akhir hayat abah, membuatkan ibu meredhai pemergian abah dengan tenang. Pastinya ibu meratapinya di hati. Walau aku tidak nampak, aku pasti ibu merintih sepanjang malam walaupun matanya terpejam. Mana mungkin melupakan cinta yang bertahan dengan menjunjung dugaan yang dipikul bersama. Aku ingin menjadi seperti ibu. Kisah yang diceritakan buatkan aku terfikir….

“CINTA TAK PERLU DIUNGKAP DENGAN KATA-KATA YANG BERTULIS  KERANA CINTA ADALAH DUA HATI YANG SEDIA MENERIMA.”

“Tetamu sedang tunggu dibilik mesyuarat.”
Ketekunanku tersentak. Aku menoleh dan hanya mengangguk. Kertas yang berselerak di atas meja aku biarkan. Laptop yang bernyawa sejak malam tadi aku biarkan tidur seketika. Kertas kerja, pendrive dan beg, cukup. Aku keluar dan melangkah terus ke bilik mesyuarat yang sentiasa membuatkan aku gementar berhadapan dengan rakan kongsi yang bertandang tanpa perlu diundang. Hidup aku tak pernah berubah. Setiap hari, hanya itu yang aku perlu lakukan. Kerja, mesyuarat, kertas kerja, projek dan tak tersenarai apa lagi yang penting selain kerja. Aku bukan mencari kerjaya untuk menolak kisah cinta yang perlu dalam diri manusia. Sedia? Mungkin itulah jawapan segala-galanya. Sedia itu sering terbatas dengan waktu yang tenang berubah tetapi membuatkan manusia runsing mana hentiannya. Aku yakin dengan cinta tika satu saat nanti, ia datang tanpa di undang.

“Makan malam?”
Aku sering terperangkap dengan situasi begini. Kenapa perlu membincangkan tentang hal pejabat di luar? Inikah taktik mengumpan aku untuk jadi perempuan simpanan mereka? Huh!aku bukan wanita yang terlalu mudah memerangkap diri dengan ‘cinta makan malam’ yang direka oleh kebanyakan lelaki seperti kamu, Encik Mohd Zaki bin Ahmad. Tapi tak mengapa. Aku setuju dengan alasan budi itu perlu dibalas dengan balasan yang baik. Terima kasih kepada empunya kereta Fairlady 01 yang banyak memberi peluang untuk aku terus maju. Tetapi bukan cinta yang dicari malam ini. Harap maklum ya, Mr Fairlady.

“Dah lama tunggu?”
Fantastik Fairlady! Tiba-tiba jantung aku berdegup seperti alunan muzik metal. Laju, terus laju dan kemudian tenang dibawa arus profesionalisme. Aku mengaguminya. Seolah-olah aku memerangkap diri sendiri dalam ‘cinta makan malam’ Mr. Fairlady. Ketenangannya membuatkan aku tak senang. Ia seperti cuba mengumpan dengan cara yang paling selamat. Adakah benar apa yang aku rasa? Itu hanya taktik untuk mengumpan cinta aku? Atau sememangnya benar dia hanya ikhlas untuk mencipta makan malam yang sekadar makan, berbual tentang perniagaan, balik dan senyap begitu sahaja. Adakah dia tidak seperti lelaki-lelaki sebelum ini yang cuba mencipta ‘cinta makan malam’ seperti yang dirancang dalam fikiran nafsu mereka? Dia bijak mengawal pertuturan yang membuatkan aku terleka tanpa menyahut kata-katanya. Dia pandai mencuri tumpuan aku sehingga aku merasa tiada yang lain di sisi kiri dan kanan ku. Inikah yang dinamakan cinta? Aku terperangkap buat kali pertamanya dalam sejarah riwayat hidupku.

“Terima kasih untuk malam ini.”
Hanya itu yang mampu aku ucapkan kepadanya yang memberi banyak makna dari sudut hati. Seperti dirasuk cinta yang dicari, aku mengungkapkannya dengan nada yang aku sendiri tidak sangka aku mampu untuk melakukannya. Mulut berbicara bersama mata yang menikam pandangan mata si dia. Seakan dia tahu dan merelakan. Adakah benar seperti yang aku duga? Adakah aku kelihatan seperti wanita yang terlalu dahagakan cinta? Ibu, Balqis perlukan ibu untuk jawab persoalan yang semakin lama, semakin membunuh hari-hari yang tak keruan anakmu ini. Aku mula merasa bahawa hidup aku sekarang bukan lagi kerana kerja semata-mata. Ya, aku perlukan cinta! Mr. Fairlady? Mungkin. Aku tak mampu menduga hari esok. Aku hanya mengharapkan sesuatu yang mampu menyempurnakan kehidupanku kelak. Sesuatu yang aku percaya, tak semestinya seseorang yang berjaya membuka pintu cinta ini adalah orang yang sebenarnya cinta kita. Terasa ingin aku ucapkan kata terima kasih kepada Mr. Fairlady yang berjaya membuatkan aku terjatuh dalam perasaan cinta. Aku percaya, aku sudah bersedia untuk mencari sesuatu yang aku perlu untuk melengkapkan riwayat hidup aku. Cinta Itu Noktah Tanpa Akhirnya. Ya, itulah C.I.N.T.A yang aku cari sejak makan malam bersama Mr. Fairlady.

“Izinkan saya sentuh awak..”
Dia datang dengan kelembutan. Buat pertama kalinya aku merasa kedinginan dan memerlukan perlindungan pelukan yang rapi. Aku sudah dimiliki dengan ikatan yang sah. Hidupku sempurna dengan belaian yang aku dambakan daripada seorang suami. Masa yang berlalu begitu singkat. Sedangkan pencarian cinta itu sungguh melelahkan. Belajar dari seseorang yang mengajar aku tentang cinta, melenyapkan kerapuhan hidup yang sering dibelenggu sepi. Besarnya makna cinta sehingga menolak aku ke lurah perasaan yang begitu indah bersama titian kasih yang tidak melukakan. Pelayaran ku sebagai seorang isteri cukup sempurna bersama pengemudinya. Kebahagiaan ini sememangnya membuatkan aku bersyukur atas nikmat yang diberikan. Benar kata ibu, “apabila kita merasa bersedia tentang sesuatu perkara, Maha Pencipta tahu apa yang terbaik untuk kita”. Terima kasih ibu kerana kata-kata ibu sentiasa ada untuk melengkapkan lagi kehidupan Balqis. Walaupun agak terlambat untuk Balqis bersedia semasa hayat ibu, tapi Balqis sedar jika itu tidak berlaku, Balqis tak akan hidup dengan kata-kata ibu. Ibu tak bersama merasai perasaan Balqis saat ini tapi ibu sentiasa ada bersama degupan nadi Balqis dalam mencari kesempurnaan hidup selayaknya seorang manusia yang mengikut aturanNya.

“Saya harap awak bahagia dengan saya..”
Kata-kata itu cukup menikam nadi rasa. Benarlah, kehidupan tidak boleh diduga manusia. Perkongsian kasih itu tidak selama hayat ibu kepada abah. Tapi persamaan kami adalah sama. Kami bercinta dari hati yang bukan direka dengan tulisan lalu mengungkapkannya dengan hafalan. Ibu, perlukah ada cinta kedua selepas kita merasa cinta yang suci itu selayaknya untuk yang pertama? Kalaulah ibu masih ada, pasti ibu tahu perasaan Balqis disaat menerima ketentuan takdir yang sungguh menguji keimanan Balqis. Ibu, suami Balqis sudah tiada lagi di sisi. Dia pergi dengan tenang. Balqis melepaskannya dengan redha kerana itu yang dia mahukan. Hanya itu yang mampu membahagiakannya disana. Ibu, Balqis sunyi. Balqis rindukan ibu dan dia. Mungkinkah disana ibu akan bertemu dengan lelaki yang berjaya membahagiakan Balqis di dunia ini? Aku tidak tahu aturan hidup disana. Pemergiaannya benar-benar mengunci langkah aku untuk mencari cinta lain. Walaupun dia tiada lagi di sisi, tetapi cinta antara aku dan dia tetap tiada pengganti. Benar, aku teramat merinduinya sehingga aku merasa indah dalam kerinduan itu. Abang, harapan abang benar sama sekali. Ya, sayang bahagia dengan abang.

“Kita jumpa disana..insyaAllah.”
Abang, sayang berharap dengan kata-kata abang itu. Sayang terlalu rindu abang. Maafkan sayang kalau abang tak bahagia dengan cinta yang sayang berikan selama kita bersama. Sayang dah cuba segala-galanya untuk abang. Sekali lagi aku merasa hidup ini sangat perlukan cinta. Bagi aku, cinta itu sukar memulakannya; apabila sudah bermula, terlalu berat melepaskannya pergi; dan apabila sudah pergi, susah untuk membinanya kembali. Jika di beri peluang sekali pun, tidak akan sama dengan yang sebelumnya. Perlukah aku mencari sekali lagi cinta yang mungkin sekadar peneman sepi? Aku tak mahu berdosa dengan memberi harapan yang tak tahu mana ikhlasnya kepada mereka yang berharap. Sekiranya suatu hari nanti ada ruang untuk aku menikmati kembali rasa sucinya sebuah cinta, aku merelakannya asalkan aku bersedia. Namun, hatiku sering berkata rasa cinta terhadap suami ku itu adalah cinta pertama dan terakhir aku terhadap insan bergelar lelaki. Sementara bernafas, aku tunduk dengan ketentuanNya. Apa yang dijanjikan, tak semuanya akan berbalas. Begitu juga janjiku untuk menjadikan dia suami ku satu-satunya. Maaf abang, sekiranya sayang terpaksa mengalah dengan desakan jiwa.

“Kerana indah tetap ada..KITA”
Hidup aku masih sendiri. Masih gembira bersendirian. Masih merindu yang tiada. Masih mengharap indahnya makna kehidupan. Keagungan Yang Maha Kuasa menjadi keutamaan ku disaat meniti hari-hari yang entah bila penghujungnya. Kekuatan yang aku miliki adalah kekuatan mereka yang dekat tetapi jauh di alam sana. Tatkala sedih, aku gubah nada disulami kata-kata yang menguatkan rasa cintaku terhadap mereka.

Bila ku pejamkan mata
Terbayang wajahmu ada didepan
Tak sanggup ku buka mata ini

Dan hanya suara memanggilmu
Dalam rindu yang semakin
Mendalam dihatiku

Bila ku pejamkan mata
Terasa bagai kau ada disisi
Tak daya ku buka mata ini

Dan bila ku sedar
Takkan selamanya kau disisi
Dan bila ku tahu
Ianya takkan kembali lagi
Kau ku rindu

Akan ku relakan jua
Mataku terbuka walau kau tiada
Biar ku tangis dalam tertawa
Kerana Indah Tetap Ada..KITA

Terima kasih kepada kalian yang telah memberi aku kehidupan yang sempurna. Abah, walaupun hayat abah seketika dan hidup ini tak merasa kasih abah lebih mendalam, Balqis redha kerana abah memberi Balqis semangat untuk mencintai hanya seorang. Ibu, kata-kata ibu sentiasa menjadi pendinding semangat untuk Balqis terus berada dekat dengan kasih sayang ibu yang tak pernah terhenti walau sejenak. Mr. Fairlady, terima kasih kerana memberi ketulusan cinta yang sungguh indah sejak awal pertemuan kita sehingga ke akhir hayatmu. Walau tak berbicara, ia tetap terpancar dari dua hati. Entah apa yang berlaku hari esok…aku hanya meredhainya. 

:::Cinta Itu Noktah Tanpa Akhirnya:::

No comments:

Post a Comment