Sunday 27 February 2011

my 2nd short story~ enjoy!!

~ RINDU SI SUAMI ~

Kalau kau hilang, aku nampak…aku redha. Jangan hilang tanpa aku tahu dimana nisannya. Sedih…sakit! Aku ke sana, kau ada dalam bayangan. Aku gila dengan bayangan itu. Aku kaku dalam kesamaran waktu. Mana? Mana nadimu yang setia bersama jasad disisi ini saat aku tidak terdaya? Aku tahu janjimu masih ada. Masih setia. Masih menjaga..walau kau jauh. Datanglah, aku masih mampu menerima kerana aku terlalu cinta. Aku terlalu rindu! Aku lelah disini, sayang. Kau yang mencipta bahagia sehingga aku terasa hidup dengan kaki yang pantas berjalan. Walaupun hakikatnya…



Menoleh sejenak waktu yang kelam…lantas menjadi kisah.

“Abang, motor Da pancit. Maaf sebab tak dapat balik dan masak untuk abang.”
Menggeleng, tersenyum dan mengeluh. Hanya itu reaksi aku selepas menerima panggilan telefon dari Zuraidah. Isteri yang teramat aku sayang. Waktu rehat aku habiskan di bilik solat. Perut berbunyi pinta di isi tapi hati rela menahan demi saat yang perlu dinikmati sementara dia masih disisi. Aku lebih suka makan dirumah disamping isteriku. Air tangannya, aku sentiasa rindu. Petang itu, aku menjemputnya pulang dari tempat kerja. Senyumannya membuatkan letih yang memaksa keringat jantanku jatuh, terasa dingin dan hilang.
“Abang dah lama tunggu?” nadanya lembut.
“Taklah, baru je sampai. Da dah makan?”
“Makan kuih je tadi. Abang?”
“Belum.” jawabku ringkas sambil tersenyum.
“Maafkan Da abang..” wajahnya di tundukkan. Tangannya pantas menggenggam tanganku erat.
“Sudahlah. Lagi cepat balik, lagi cepat abang makan.” usikku sambil tersenyum.
Tak sanggup aku lihat wajahnya murung dan rasa bersalah. Tidak ada sebesar zarah pun aku salahkan dirinya. Aku lebih rela mati kebuluran daripada kehilangan senyumannya. Aku sering mengelamun tentang dia. Apa saja tentangnya dan di mana saja, aku tak menduga. Perasaan itu seperti orang yang angau dilamun cinta. Ya, benar. Aku jatuh cinta dengannya, setiap hari. Tapi hari itu, lamunanku mengundang derita buat Zuraidah…
Hatinya meruntun…tangisan tidak merawat.

Maafkan abang, sayang. Sekali lagi abang lakukan kesilapan yang sangat sukar dan tak perlu dimaafkan. Hakikat yang pasti, lamunan itu takkan pernah lumpuh walaupun langkah ini kakunya pinta dipapah. Dia terlalu istimewa dalam hati ini. Hingga lamunan itu membawa kepada tragedi. Tapi bukan dia puncanya. Masih terngiang jeritannya yang sayup dan semakin jauh suatu ketika dulu. Alhamdulillah, hanya aku yang tanggung derita ini. Dia masih bernyawa dan masih menjalankan tanggungjawab yang tak pinta dibalas. Tapi sayang, kalaulah ada sedetik masa yang diberikan untuk sayang selami hati abang…mengertilah, bukan itu yang abang impikan. Sedangkan dulu semasa sayang ingin bekerja di kilang itu, abang tidak berapa setuju tapi kerana percaya dan sayang, abang izinkan. Kini, janji yang abang bina dalam hati hanya tinggal janji yang tak tertunai. Janji untuk menjaga dan menjadi pelindung sepanjang hayat sayang. Janji itu seolah-olah menjadi janji dalam diri sayang di saat ini. Ya Allah, aku tahu betapa seksa untuknya menghadapi sesuatu yang di luar harapannya. Dugaan ini menguji cinta kami, Ya Allah. Kau tunjukkan betapa dia ikhlas mencintai tanpa secebis keluhan yang dipaparkan melalui riak wajah. Aku tanggungannya kini. Dia bekerja untuk menanggung aku yang kaku di kerusi roda. Aku tahu dia penat. Penat menjalankan tanggungjawab yang tidak melelahkannya. Aku rasa seperti tidak harus berada disisinya lagi. Biarlah aku pergi asalkan dia tidak menanggung keperitan itu. Tapi aku tak mahu melihat tangisannya jika aku tiada…

Masih mengimbau kisah semalam…
“Syukur alhamdulillah, abang selamat.” ucap Zuraidah, sayu.
“Maafkan abang, Da. Semua salah abang. Abang tak tunaikan janji abang untuk jaga Da sampai akhir hayat…Bantu Da dapatkan zuriat. Kalaulah boleh dipilih, abang mahu pergi dahulu…” tangisan itu tak tertahan.
“Abang, kalau abang pergi tinggalkan Da…Da akan menangisi hingga akhir hayat”
“Jangan Da…abang sangat benci dengan tangisan Da. Jangan sekali-kali air mata itu jatuh sebab abang.”
“Da takkan menangis kalau abang menerima takdir.” Zuraidah tersenyum tawar.
“Abang tak boleh terima lepas ni Da kena pikul tanggungjawab seorang diri. Abang tak berguna lagi Da. Abang hanya akan menyusahkan Da. Abang sayang Da. Abang tak nak Da susah.” tangisanku semakin teresak-esak mengenangkan nasib diri yang tak pasti kemudian harinya.
Zuraidah kemudian meletakkan tapak tangannya di dada aku. Masih terasa kedinginan tapak tangan yang sentiasa membelai kepanasan jiwa selama dua tahun hidup bersama. Wajahnya masih mengukir senyuman walaupun aku tahu dihatinya berat menanggung.
“Maafkan abang Da..”

Waktu berlalu terlalu pantas. Kini hampir 10 tahun aku dikerusi roda dan bergandingan dengan itu juga Zuraidah menanggung keperluan aku. Setiap malam aku menangisi keikhlasannya. Terlalu ikhlas menjaga aku hinggakan dirinya sendiri tidak terjaga. Aku dihimpit rasa bersalah yang teramat berat! Aku menunggu makan masuk ke mulut dan aku menanti tubuh dibasahi air, sedang dia…Dia tak merasa lagi saat romantis yang aku berikan seperti dulu. Dia hilang segala kebahagiaan yang kami gapai seiring suatu ketika dahulu. Dia hilang semua kemanisan hidup dengan aku. Sama seperti hilangnya langkah aku yang kaku tanpa deria rasa. Suatu hari, sekali lagi aku di duga dengan takdir yang cukup berat. Aku rasa seperti kaku yang hanya pada langkah, kini sudah hampir ke seluruh badan. Saat yang aku sendiri tak terfikir akan terjadi. Isteri kesayanganku pergi tanpa sebarang pesan. Dia pergi bukan bernisan, tetapi pergi meninggalkan aku dan menggantikan keikhlasannya dengan seorang manusia yang kejam!

Sampainya hati sayang tinggalkan abang dengan seorang wanita yang tak tahu ertinya kasih sayang. Zakiah menyeksa naluri dan zahir abang, sayang. Abang rela sayang pergi tanpa abang tahu apa sebabnya dan abang lebih rela tinggal sendiri daripada tubuh yang tak bermaya ini menjadi benda untuk Zakiah perlakukan seperti sampah! Mana sayang pergi? Mana keikhlasan yang sayang berikan sehingga aku menangisinya setiap malam? Mana semua keredhaan sayang menerima takdir? Sayang, abang rindukan sayang. Abang rindu melihat senyuman sayang. Abang rindu dibelai dengan kasih dan cinta sayang. Tapi sayang hilang. Hilang disaat abang lena disisi sayang. Ketika mata terbuka, abang hilang arah melihat Zakiah yang menggantikan sayang. Abang janggal. Abang takut. Abang nak sayang, bukan Zakiah! Dia kejam! Dia menyeksa seluruh perasaan abang dengan kata-kata yang sehina sampah yang berulat.

Sayang, abang lebih rela sayang hilang tanpa utuskan sesiapa untuk menjaga abang. Biarlah abang mati sekali pun tinggal sendirian. Biar abang mati kerana merindui sayang…kerana terlalu rindukan hidup bersama. Tapi abang tak sanggup mati kerana kekejaman jiwa yang dicipta Zakiah. Sayang…baliklah. Abang rindu. Tersangat rindu! Abang takkan sekali-kali menyalahkan sayang. Abang tahu, sayang perlukan ruang untuk diri sayang. Tapi jangan pergi tanpa abang tahu sebabnya. Itu lebih menyeksakan daripada merelakan sayang pergi dengan redha. Jika itu yang sayang mahu, abang turutkan. Walaupun kepedihannya benar-benar meranapkan keutuhan cinta kita, abang redha. Tapi kenapa dengan cara ini? Semalam sayang senyum..sayang belai abang. Hari ini, sayang hilang…

Sudah seminggu sayang pergi. Abang masih berharap seperti hari-hari yang berlalu. Pulanglah, sayang. Abang terseksa disini. Sedetik perasaan abang menduga keikhlasan dan kesetiaan sayang. Ya, memang abang seorang yang tiada gunanya lagi. Sayang berhak merasa terseksa menanggung bebanan menjaga tubuh yang tak berfungsi ini. Sayang, baliklah walaupun sekejap. Abang akan lepaskan dengan cara yang sepatutnya. Tak perlu sayang menghilang dan menyeksa naluri abang yang semakin hari semakin bernanah dan berdarah! Baliklah sayang…

“Abang…”
Suara itu mengganggu lena aku. Zuraidah! Ya Allah, terima kasih kerana mendengar suara hati hambaMu yang kerdil ini. Hari ini hari yang terlalu bahagia untuk aku. Bahagianya melebihi hari-hari sejak 10 tahun yang lalu. Dia menangis sambil memeluk kaki aku. Aku merelakan juga tangisanku terus mencurah tanpa henti. Bukan aku memaksanya mencurah, semuanya kerana hati. Hati aku yang meronta sejak beberapa hari yang lalu, inilah yang harus aku rasa sebagai balasannya. Esakkannya semakin meruntun aku untuk merasai apa yang ditanggungnya. Tubuhnya semakin tidak bermaya. Wajahnya masih cantik tetapi kelihatan pucat. Aku tatap wajahnya, aku tenung matanya yang berkaca, aku belai rambutnya dengan tangan yang tak sepantas dahulu. Naluri aku kuat mengatakan bahawa dia sedang menanggung kesakitan yang bukan puncanya kerana menjaga aku tetapi kesakitan yang menjalar didalam tubuhnya.

Seperti yang ku duga. Dia sakit. Ya Allah, dugaanMu benar-benar mendekatkan diri ini denganMu. Hanya itu yang mampu aku lakukan sebagai seorang suami yang ingin melihat isterinya kembali bermaya seperti dulu. Tapi aku masih terus menyalahkan diri yang menjadi punca. Penjelasannya meruntun aku untuk terus meratapi kekesalan masa lalu.

“Abang, maafkan Da. Da tahu Da salah. Da tinggalkan terus tanggungjawab Da kepada orang yang tak sepatutnya. Da percaya dia boleh jaga abang sebab hanya dia seorang saudara kandung Da. Tapi Da silap. Da minta maaf, abang. Da bukan isteri yang baik. Da tak layak merasa keindahan syurga kerana kunci syurga itu Da sudah hilangkan. Da takkan maafkan diri Da atas penyeksaan yang abang terima. Da menyesal abang! Hanya Allah yang tahu isi hati yang sentiasa merindu abang. Tapi Da tak mahu menyusahkan abang. Da sakit, abang. Da takut Da tak dapat jalankan tanggungjawab Da seperti sebelum ini. Da tak mahu menyusahkan abang untuk jaga Da. Sebab itu Da pergi…” sedu-sedannya merobek perasaan aku yang turut sama menangisinya.
“Tapi Da sedar bukan itu caranya. Da tak mahu jadi isteri derhaka, abang. Maafkan Da. Ampunkan Da. Bukan niat nak meninggalkan abang dengan cara begitu. Da buntu..”
“Abang tak pernah menyalahkan Da. Da ada ruang untuk menghuni  syurga. Abang pasti Allah memberi syurga itu untuk Da di sana kelak. Jangan terus salahkan diri Da. Abang cuma tak sanggup kehilangan Da tanpa abang nampak kepergian Da. Batin abang terseksa sayang…”

Nisannya utuh berdiri. Aku merenung setiap saat yang menjadi teman sepanjang hidupku dahulu. Senyuman berkaca aku tebarkan menjadi risalah hidup kini. Dia sudah tiada. Dia sudah hilang di mata. Dia benar-benar pergi kini. Namun aku tak menyesalinya. Malah aku redha dia pergi di hadapan mata. Dia pergi dengan cara yang menyenangkan. Tikar sejadah yang setia bersamanya sepanjang kehidupan kami, telah menjadi saksi perginya seorang isteri yang terlalu tinggi keperibadiannya untuk aku. Hanya dia yang layak bergelar isteriku. Tiada yang lain. Dia terlalu sempurna untuk aku mengagungkannya sebagai teman setia dunia dan akhirat. Perginya bernisan. Tangisanku kini bukan tangisan penyesalan tetapi tangisan rindu yang pasti akan menjadi peneman sepanjang aku melalui hidup yang entah bila penghujungnya.

Sayang, tenanglah di sana. Semoga kita berjumpa di pintu syurga. Abang tetap menanti waktu itu. Abang mengharapkannya. Biarlah hanya nisan itu yang menjadi tatapan abang setiap hari. Abang harap hati abang cukup sempurna untuk menempatkan sayang didalamnya. Abang janji, pusara sayang akan dihiasi doa seorang suami. 

:::aku rela kau pergi,aku nampak...jangan hilang tanpa bernisan,aku sakit:::

No comments:

Post a Comment